Pelakon Steven Seagal dilantik sebagai wakil khas hubungan kemanusiaan Rusia - Amerika Syarikat (AS), berperanan memperdalami hubungan kebudayaan, kesenian dan belia di antara kedua-dua negara.

Menurut Kementerian Luar Rusia pada Sabtu, Presiden Vladimir Putin memberi pasport Rusia kepada pelakon filem aksi itu pada 2016, dengan harapan ia akan menjadi simbol kepada hubungan antara Moscow dan Washington yang semakin baik.

Bagaimanapun, sejak itu, hubungan Rusia-AS hanya menjadi lebih teruk apabila agensi perisikan AS menuduh Moscow campur tangan dalam pentadbiran White House, satu tuduhan yang dinafikan Rusia.

Kedua-dua negara juga berbalah pendirian dalam isu Syria dan Ukraine.

Kementerian Luar menyamakan peranan baru Seagal itu dengan duta muhibbah bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sambil menambah, aktor Hollywood itu tidak akan dibayar gaji.

"Ia merupakan satu kes diplomasi rakyat yang bersilang dengan diplomasi tradisional," kata kementerian itu.

Seagal, yang kadangkala muncul di stesen televisyen negara Rusia untuk bercakap mengenai pandangannya dan kerjayanya, dilaporkan menyambut baik pelantikan itu.

"Saya sentiasa mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk melakukan apa yang saya mampu untuk membantu memperbaiki hubungan Rusia-Amerika," beliau dipetik berkata stesen televisyen RT, yang disokong Kremlin.

Selama lebih dari sedekad, pelakon berusia 66 tahun itu sering mengunjungi Rusia.

Filem lakonannya seperti 'Under Siege' dan 'Sniper: Special Ops', popular di kalangan penonton Rusia.

Presiden Putin juga dilaporkan meminati jenis seni mempertahankan diri yang sering dipamerkan Seagal dalam filem aksinya.